Thursday 28 June 2012

Kesilapan Semasa Menjawab Soalan Peperiksaan

Seperti kebiasaan, setiap pelajar pasti pernah membuat kesilapan ketika menjawab soalan peperiksaan. Berikut adalah beberapa kesilapan yang agak kerap berlaku dan semoga kita mengambil iktibar dan teladan agar tidak melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Selamat membaca!

  1. Pelajar tidak memperuntukkan masa untuk membaca arahan kertas soalan sepenuhnya dan memahami perkara yang dikehendaki oleh kertas soalan.
  2. Pelajar tidak membaca semua soalan yang diberi dan bersifat 'ghairah' dan tergesa-gesa untuk mula menjawab soalan.
  3. Tidak memahami inti pati dan kehendak sebenar soalan menyebabkan jawapan tidak menepati kehendak dan akan membazir masa.
  4. Pelajar yang tidak merancang masa dengan baik akan banyak menghabiskan masa pada soalan-soalan yang maklumat dan faktanya banyak diketahui. Setiap soalan ditetapkan markahnya dan tidak ada markah bonus diberikan bagi jawapan yang amat panjang. Oleh itu, setiap jawapan perlu ringkas, tepat dan padat.
  5. Ada juga pelajar yang kekeringan idea menyalin semula soalan. Perbuatan sebegini adalah kerja yang sia-sia dan membazirkan masa.
  6. Kadang kala terdapat pelajar yang tidak dapat menjawab sebahagian daripada soalan. Oleh itu, mereka berputus asa lantas mengambil tindakan 'tidur-tidur ayam' di dalam dewan peperiksaan.Sepatutnya pelajar perlu mencuba sedaya upaya memerah minda dan menjawab soalan secara logik akal kerana ia lebih baik daripada tidur. Pada masa itu, minda kreatif perlu digunakan.
Lalai sesaat adakalanya mencucurkan air mata setahun!