Saturday 30 June 2012

Keberkatan Ilmu Yang Semakin Pudar


Pada tahun 40-an dan 50-an dahulu, khususnya sebelum merdeka, pekerjaan sebagai guru dianggap begitu terhormat dan mulia apatah dipandang tinggi dalam masyarakat. Guru dijadikan rujukan dan pandangan mereka sering diambil dan didengar apabila timbul sesuatu masalah dalam komuniti/masyarakat.Pengorbanan guru adalah sesuatu yang tidak ternilai dan tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Mereka akan melakukan apa sahaja bagi memberi kefahaman kepada pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran. Bak kata pepatah ‘ibarat lilin membakar diri menerangi orang lain’.

Tetapi amat sedih apabila memikirkan segelintir pelajar yang sanggup bersikap kasar serta bertindak memulaukan guru di sekolah,serta cuba menjatuhkan maruah guru di internet. Ada yang sanggup memaki hamun dan berkata perkataan yang kasar serta mencarut terhadap guru mereka. Lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup menendang, menampar serta mencekik guru kerana marah apabila ditegur. Ditambah pula dengan ibu bapa yang kebanyakannya suka mencari kesalahan guru,makin tercabar maruah seorang guru.

Bagaimana pelajar hendak mendapat keberkatan dalam ilmu apabila mereka bersikap kurang ajar dengan guru mereka. Secara tidak langsung sikap mereka ini mempengaruhi kehidupan mereka pada masa depan. Sesungguhnya, guru ibarat ibu bapa yang kedua. Lantaran itu hormatilah mereka. Bersikap baiklah terhadap mereka. Jika tidak berpuas hati dengan guru, hadapilah secara baik dan berhemah. InsyaAllah, segala kekusutan akan dapat ditangani ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak.

Thursday 28 June 2012

Kesilapan Semasa Menjawab Soalan Peperiksaan

Seperti kebiasaan, setiap pelajar pasti pernah membuat kesilapan ketika menjawab soalan peperiksaan. Berikut adalah beberapa kesilapan yang agak kerap berlaku dan semoga kita mengambil iktibar dan teladan agar tidak melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Selamat membaca!

  1. Pelajar tidak memperuntukkan masa untuk membaca arahan kertas soalan sepenuhnya dan memahami perkara yang dikehendaki oleh kertas soalan.
  2. Pelajar tidak membaca semua soalan yang diberi dan bersifat 'ghairah' dan tergesa-gesa untuk mula menjawab soalan.
  3. Tidak memahami inti pati dan kehendak sebenar soalan menyebabkan jawapan tidak menepati kehendak dan akan membazir masa.
  4. Pelajar yang tidak merancang masa dengan baik akan banyak menghabiskan masa pada soalan-soalan yang maklumat dan faktanya banyak diketahui. Setiap soalan ditetapkan markahnya dan tidak ada markah bonus diberikan bagi jawapan yang amat panjang. Oleh itu, setiap jawapan perlu ringkas, tepat dan padat.
  5. Ada juga pelajar yang kekeringan idea menyalin semula soalan. Perbuatan sebegini adalah kerja yang sia-sia dan membazirkan masa.
  6. Kadang kala terdapat pelajar yang tidak dapat menjawab sebahagian daripada soalan. Oleh itu, mereka berputus asa lantas mengambil tindakan 'tidur-tidur ayam' di dalam dewan peperiksaan.Sepatutnya pelajar perlu mencuba sedaya upaya memerah minda dan menjawab soalan secara logik akal kerana ia lebih baik daripada tidur. Pada masa itu, minda kreatif perlu digunakan.
Lalai sesaat adakalanya mencucurkan air mata setahun!

Tuesday 26 June 2012

Kemahiran Mendengar


  1. Mulakan proses mendengar dengan meminta pertolongan daripada Allah S.W.T dengan membaca Bismillah dan kemudian berdoa.
  2. Anda hendaklah berada dalam keadaan siap sedia. Tidak terlalu mengantuk, tidak tertekan dan sebagainya.
  3. Sediakan peralatan menulis dan mencatat dengan lengkap.
  4. Duduk dekat dengan guru atau sumber suara apabila mengizinkan.
  5. Tumpukan seluruh pendengaran, fikiran dan perhatian pada maklumat yang disampaikan.
  6. Perhatikan dengan teliti dan dengarkan perkataan penting ataupun gaya penyampaian guru yang dapat dijadikan isyarat penting. Misalnya, suara yang ditinggikan oleh guru, isyarat tangan, perkataan penting seperti awas, perhatikan, ingat baik-baik dan sebagainya.

Sunday 24 June 2012

Aduh, mengantuknya dalam kelas!

Sebut sahaja ceramah, semua akan mengantuk. Benar? Ya, saya percaya anda semua turut mengalaminya. Bukan saya seorang, bukan kepada ibu-ibu, tidak hanya golongan remaja bahkan semua di dunia ini pasti mengalami.  

Bagi yang sedang berada di alam persekolahan atau pun universiti, suasana di dalam kelas dan dewan kuliah sudah tentu membuatkan anda semua mengantuk, terutama ketika guru dan pensyarah sedang mengajar. Mengapa boleh jadi begini?
Kali ini, saya akan bawakan 5 sebab utama mengapa pelajar-pelajar mengantuk di dalam kelas. 
  1. Tiada persediaan – Ya, ramai di kalangan pelajar tidak kira di alam persekolahan atau pun ketika di alam universiti yang tidak membuat persediaan yang cukup sebelum ke kelas. Apabila anda tidak membaca dahulu apa yang akan diajar oleh guru dan pensyarah pada hari tersebut, anda akan cepat hilang tumpuan. Yalah, apa yang diajar oleh guru anda tidak pernah pun tahu. Bagaimana mahu rasa seronok? Macamana ingin merasa mudah ketika guru mengajar? Justeru, pastikan anda membaca dahulu apa yang akan disampaikan oleh guru atau pensyarah pada hari tersebut sebelum ke kelas.
  2. Kurang tidur – Ramai yang beranggapan bahawa, tidur lewat adalah jalan penyelesaian terbaik untuk score di dalam peperiksaan. Ya, benar. Ramai orang berjaya yang berbuat demikian. Tidur lewat untuk mengulangkaji pelajaran. Tapi lebih ramai orang berjaya yang tidak mengamalkan kaedah sedemikian. Apabila anda tidur lewat, anda akan mengantuk di dalam kelas. Dan apa yang cikgu dan pensyarah ajar anda akan kurang faham. Justeru mengapa tidur lewat?
  3. Tidak fokus - Percayakah anda kalau saya katakan bahawa lebih separuh peratus pelajar-pelajar yang tidak memberikan perhatian ketika guru atau pensyarah mengajar di kelas. Kelas dan dewan kuliah bukan tempat untuk anda berangan atau membiarkan fikiran anda bebas menanar ke mana-mana. Pensyarah, guru perasan kalau anda berangan. Pensyarah nampak. Justeru, sebelum ke kelas, ikhlaskan hati. Betulkan semula niat. Ya, aku hendak ke kelas untuk mengutip seberapa banyak ilmu. Buat begitu, insyaAllah segala yang diajar akan lekat di minda.
  4. Kurang minat – Mengapa tidak minat? Bosan? Kalau anda ingin berjaya, anda harus minat. Ya, anda wajib untuk menyukai setiap pelajaran dan subjek yang anda ambil. Apa guna anda belajar subjek berkenaan jika anda sendiri tidak minat subjek itu. Ingat, sesuatu yang sukar itu seringkali bermula dengan yang sukar-sukar. Kuatkan hati, tanamkan azam yang jitu. Tambahkan minat terhadap mata pelajaran yang kurang diminati. Lakukanlah apa sahaja untuk memastikan anda minat dan seronok terhadap  tajuk dan subjek berkenaan.
  5. Fizikal dan Mental : Ya, kekadang itu kita tidak sedar bahawa mental dan fizikal kita juga perlu rehat yang mencukupi. Dapatkah anda bayangkan sebuah kereta yang bergerak 24 jam tanpa henti dan ia terus bergerak lagi untuk 24 jam yang seterusnya tanpa henti. Apa akan terjadi? Ya, begitu juga tubuh kita. Manusia bukannya robot. Robot juga kalau tidak digunakan dengan sebaiknya akan rosak. Justeru, pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya. Rehat fizikal, rehat juga minda. Buanglah segala masalah yang sedang melanda dan mengusutkan anda. Semoga anda menjadi manusia paling berjaya!

Saturday 23 June 2012

Friday 22 June 2012

Matrikulasi? Saya tak tahu la!


Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan Bahagian Matrikulasi pada 1 September 1998 untuk penyeragaman semua Program Matrikulasi/Asasi yang selama ini dikendalikan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Pada sesi 1999/2000, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia telah memulakan Program Matrikulasi bagi lulusan SPM 1998.

Mulai sesi 2000/2001, semua Program Matrikulasi kecuali UIAM dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Konsep
Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan program persediaan bagi pelajar Bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melayakkan mereka mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Sains, Teknologi dan Sastera Ikhtisas di universiti awam dan swasta.

Tempoh pengajian prauniversiti ini mengambil masa dua (2) semester. Kurikulum program ini memberi penekanan terhadap aspek akademik dan tidak mengabaikan aspek kokurikulum.

Di samping menyediakan pelajar yang berilmu dan berketrampilan, pelajar juga perlu mempunyai ciri kualiti diri yang terpuji dan daya kepimpinan yang tinggi.

Semua pelajar program ini mengikuti sukatan pelajaran dan kaedah penilaian yang sama. Pemilihan pelajar ke universiti hanya dibuat selepas lulus Program Matrikulasi.

Tempat Pengajian
Mulai sesi 2003/2004, Program Matrikulasi dijalankan di Kolej-Kolej Matrikulasi dan Kolej MARA sahaja. Senarai Kolej Matrikulsi Kementerian Pelajaran Malaysia boleh diperoleh dalam Direktori Institut.

Bidang Pengkhususan

Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia menawarkan tiga(3) jurusan pengajian:
  1. Sains (Kod M001)
  2. Perakaunan (Kod M003)
  3. Teknikal (Kod M007)
Rancangan Program
a) Jangka Masa Program
  • Program Satu Tahun (2 Semester)
  • Program Dua Tahun (4 Semester)

b) Mata Pelajaran Teras
  • Jurusan Sains
              Modul I            : Matematik, Kimia, Fizik, Biologi
              Modul II           : Matematik, Kimia, Fizik dan Sains Komputer
              Modul III          : Matematik, Kimia, Biologi dan Sains Komputer
  • Jurusan Perakaunan
             Matematik, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan dan Ekonomi
  • Aliran Teknikal
             Matematik, Kimia Kejuruteraan, Fizik Kejuruteraan, dan Pengajian Kejuruteraan 

Di samping mata pelajaran bidang pengkhususan, mata pelajaran berikut wajib diambil oleh semua pelajar:-
- Bahasa Inggeris
- Kemahiran Dinamika
- Pendidikan Islam/Moral
- Teknologi Maklumat
- Kokurikulum

Semua pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia diwajibkan mengambil satu daripada mata pelajaran kokurikulum berikut:-
- Sukan/Permainan atau
- Persatuan/Kelab atau
- Kawat Kaki

Penilaian
Berdasarkan Penilaian Berterusan (PB), Ujian Pertengahan Semester (UPS) dan Peperiksaan Semester Program Matrikulasi (PSPM).

Pembiayaan
Pelajar Program Matrikulasi dibiayai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Peluang Melanjutkan Pengajian
Pelajar yang memperolehi PNGK 2.00 (gred C) dan ke atas boleh dipertimbangkan untuk ke IPTA

a) Jurusan Sains
  • Perubatan
  • Pergigian
  • Bio Perubatan
  • Bio Fizik
  • Farmasi
  • Sains Aktuari
  • Sains Tulen
  • Sains Gunaan
  • Sains Komputer / Teknologi Maklumat
  • Sains Pendidikan
  • Kejuruteraan
  • Seni Bina dan bidang lain yang berkaitan

b) Jurusan Perakaunan
  • Perakaunan
  • Ekonomi
  • Pengurusan Perniagaan
  • Undang-Undang
  • Teknologi Maklumat
  • Pentadbiran Perniagaan / Pentadbiran Awam
  • Pengurusan Sumber Manusia dan bidang lain yang berkaitan
Sumber  : Kementerian Pelajaran Malaysia