LATAR BELAKANG & SEJARAH
Dengan keluasan sebanyak 8 ekar ketika dibuka, SMK Sri Tebrau hanya mempunyai 3 buah blok yang mengandungi 10 buah bilik darjah, 2 bilik Ekonomi Rumah Tangga (ERT), 3 makmal sains, sebuah blok seni perusahaan, kantin dan padang trek 200 meter yang boleh memuatkan sebuah padang bola sepak. Pada tahun 1987, kemudahan sekolah ini telah ditambah dengan sebuah blok yang mengandungi 10 bilik darjah dan sebuah blok untuk 3 bilik makmal Sains Tulen. Pembinaan sebuah gelanggang serbaguna dan sebuah tempat letak kereta telah dibina pada tahun berikutnya.
Pada tahun 1999, sudut bacaan pula dibina untuk dijadikan perpustakaan baru yang lebih besar dan selesa untuk pelajar-pelajar dan guru. Ianya hasil daripada sumbangan YB Dato' Mohamed Khaled B. Nordin dan pihak PIBG SMK Sri Tebrau.Pada tahun 2002 menyaksikan bahagian pejabat telah dinaik taraf dan diperbesarkan bagi keselesaan kakitangan SMK Sri Tebrau dan pembinaan Astaka berhampiran dengan Pintu Pagar D. Dalam tahun 2003, sebuah bangunan Makmal Komputer telah dibina berhampiran dewan sekolah dan makmal ini dimuatkan dengan komputer bagi kemudahan pelajar aliran ICT. Tahun 2004 pula disusuli dengan pembinaan sebuah Balai Islam hasil sumbangan PIBG SMK Sri Tebrau dan peruntukan daripada YB Dato' Mohamed Khaled B. Nordin bagi tujuan program berkaitan dengan Pendidikan Islam. Kemudahan tempat letak kereta juga ditambah hasil sumbangan daripada Koperasi SMK Sri Tebrau Berhad. Kedudukannya terletak di sebelah kiri pintu masuk utama SMK Sri Tebrau berhampiran dengan Koperasi sekolah.
Di bawah ini merupakan senarai nama Pengetua yang pernah berkhidmat di SMK Sri Tebrau semenjak penubuhannya :
- Encik Ahmad Bin Parman (1984 hingga 1985)
- Encik Mohd Sharipudin Bin Mahmood (1986 hingga 1988)
- Encik Salamon Bin Sarip (1988 hingga 1992)
- Encik Yau Hook Leong (1992 hingga 1997)
- Cik Tan Mui Kim (1997 hingga 2001)
- Encik Koh Wee Huat (2001 hingga 2005)
- Puan Balwinder Kaur (2005 hingga 2011)
- Puan Hajah Habibah Binti Dol (2011 hingga sekarang)
VISI SEKOLAH
Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang
MISI
Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti
FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara
PIAGAM PELANGGAN
Kami sedia memberi perkhidmatan yang mesra, adil dan saksama kepada semua pelanggan kami sebagaimana berikut:
Memberi perkhidmatan pendidikan yang berkualiti dan bersemangat tinggi
Menyediakan rangsangan untuk menambahkan semangat belajar dan membina sikap positif serta mencapai kecemerlangan
Membina dan mengekalkan budaya cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum
Melahirkan pelajar yang bermoral tinggi, berakhlak mulia dan bertakwa
Memupuk kesedaran serta tanggungjawab yang tinggi di kalangan guru dan kakitangan sokongan
Meningkatkan permuafakatan dan penglibatan PIBG secara berterusan dalam urusan pendidikan sekolah
Mewujudkan persekitaran sekolah yang bersih, selamat, selesa, indah dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran