Showing posts with label Tips Smart Study. Show all posts
Showing posts with label Tips Smart Study. Show all posts

Thursday, 5 July 2012

Masalah Selalu Lupa


Masalah “lupa” sering dialami oleh semua orang terutama pelajar. Mereka cepat lupa apa yang diajar oleh guru. Justeru itu, masalah ini menjadi kebimbangan dikalangan pelajar apatah lagi apabila masalah lupa ini menghantui mereka disaat peperiksaan hampir tiba.
Anda perlu tanya kepada diri sendiri, kenapa saya mudah lupa ? Apakah punca yang menyebabkan saya mudah lupa? dan bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini ? Pasti anda akan dapat jawapannya.
Kenapa Mudah Lupa
  • Mempunyai sikap sambil lewa
  • Tidak berminat terhadap sesuatu mata pelajaran
  • Tidak ambil perhatian ketika guru mengajar
  • Tidak mengulangkaji pelajaran secara sistematik
Perkara-perkara yang menyebabkan mudah lupa
  • Mengabaikan solat lima waktu : Solat adalah tuntutan agama. Ia wajib dilakukan 5 waktu sehari semalam. Solat juga merupakan tiang agama. Pelajar yang sering mengabaikan tanggungjawab menunaikan solat seperti mereka mengabaikan keperluan hidupnya. Jika diabaikan bermakna mereka telah lupa kewajiban dan tanggungjawab yang paling penting dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Kalaulah aspek yang paling penting ini dilupakan apatah lagi aspek kehidupan yang lain.
  • Sering bercakap bohong : Pelajar yang sering berbohong sukar untuk membezakan perkara yang benar dan sebaliknya. Meraka yang suka berbohong bukan sahaja mewarisi penyakit lupa malah akan hilang jati diri.
  • Selalu mungkir janji : Alasan yang diberikan pelajar yang selalu mungkir janji adalah lupa. Jadi pelajar yang tidak menepati janji secara tidak langsung membawa dirinya ke arah penyakit lupa.
  • Makanan yang shubhah (meragukan) status halal : Kita digalakkan memakan makanan yang bersih, suci dan halal. Seseorang pelajar itu hendaklah mengelakkan diri daripada memakan makanan yang kotor dan meragukan status kehalalannya. Kerana ia akan mempengaruhi sikap dan minda seseorang pelajar itu.
Cara untuk mengatasi masalah lupa
  • Jangan abaikan solat lima waktu
  • Perbanyakkan solat sunat
  • Selalu membaca ayat-ayat suci al-Quran
  • Selalu berdoa kepada Allah SWT
  • Jangan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT seperti berbohong, mungkir janji, melakukan maksiat, berzina dan sebagainya.
  • Makan makanan yang berkhasiat, bersih, suci, seimbang dan halal
Manakala terdapat beberapa cara agar ingatan lebih kuat dan dapat bertahan lama dalam aspek pelajaran.
  • Mengulangkaji Pelajaran : Lebih kerap pelajar mengulangkaji lebih kekal lama ingatan tentang apa yang dipelajari dalam minda.
  • Gunakan pelbagai cara untuk menyalin nota : Jika nota ditulis menggunakan teks sahaja, maka pelajar akan cepat merasa bosan untuk mengulangkaji. Nota yang dicatat perlu dilakar dalam bentuk peta minda supaya pelajar senang ingat dan menarik minat untuk melihatnya. Pelajar perlu menulis nota secara kreatif, gunakan pelbagai jenis warna pen, penggunaan gambar atau grafik.
  • Gunakan pelbagai jenis carta : Termasuklah carta aliran, gambar rajah, venn, lukisan, singkatan, nemoniks dan lakaran.
  • Kaedah bayangan : Pelajar boleh membayangkan isi kandungan yang dibaca. Bayangkan dalam bentuk gambar, gambar rajah, peta konsep, carta aliran, jadual serta pemandangan.
  • Mengulang dan mengingat kembali : Mengulang dan mengingat kembali bayangan itu dengan lebih kerap dan menyebutnya berulang kali.
  • Kurangkan teks : Jadikan ia gambar dan kata kunci.

SELAMAT MENCUBA!

Thursday, 28 June 2012

Kesilapan Semasa Menjawab Soalan Peperiksaan

Seperti kebiasaan, setiap pelajar pasti pernah membuat kesilapan ketika menjawab soalan peperiksaan. Berikut adalah beberapa kesilapan yang agak kerap berlaku dan semoga kita mengambil iktibar dan teladan agar tidak melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Selamat membaca!

  1. Pelajar tidak memperuntukkan masa untuk membaca arahan kertas soalan sepenuhnya dan memahami perkara yang dikehendaki oleh kertas soalan.
  2. Pelajar tidak membaca semua soalan yang diberi dan bersifat 'ghairah' dan tergesa-gesa untuk mula menjawab soalan.
  3. Tidak memahami inti pati dan kehendak sebenar soalan menyebabkan jawapan tidak menepati kehendak dan akan membazir masa.
  4. Pelajar yang tidak merancang masa dengan baik akan banyak menghabiskan masa pada soalan-soalan yang maklumat dan faktanya banyak diketahui. Setiap soalan ditetapkan markahnya dan tidak ada markah bonus diberikan bagi jawapan yang amat panjang. Oleh itu, setiap jawapan perlu ringkas, tepat dan padat.
  5. Ada juga pelajar yang kekeringan idea menyalin semula soalan. Perbuatan sebegini adalah kerja yang sia-sia dan membazirkan masa.
  6. Kadang kala terdapat pelajar yang tidak dapat menjawab sebahagian daripada soalan. Oleh itu, mereka berputus asa lantas mengambil tindakan 'tidur-tidur ayam' di dalam dewan peperiksaan.Sepatutnya pelajar perlu mencuba sedaya upaya memerah minda dan menjawab soalan secara logik akal kerana ia lebih baik daripada tidur. Pada masa itu, minda kreatif perlu digunakan.
Lalai sesaat adakalanya mencucurkan air mata setahun!

Tuesday, 26 June 2012

Kemahiran Mendengar


  1. Mulakan proses mendengar dengan meminta pertolongan daripada Allah S.W.T dengan membaca Bismillah dan kemudian berdoa.
  2. Anda hendaklah berada dalam keadaan siap sedia. Tidak terlalu mengantuk, tidak tertekan dan sebagainya.
  3. Sediakan peralatan menulis dan mencatat dengan lengkap.
  4. Duduk dekat dengan guru atau sumber suara apabila mengizinkan.
  5. Tumpukan seluruh pendengaran, fikiran dan perhatian pada maklumat yang disampaikan.
  6. Perhatikan dengan teliti dan dengarkan perkataan penting ataupun gaya penyampaian guru yang dapat dijadikan isyarat penting. Misalnya, suara yang ditinggikan oleh guru, isyarat tangan, perkataan penting seperti awas, perhatikan, ingat baik-baik dan sebagainya.

Sunday, 24 June 2012

Aduh, mengantuknya dalam kelas!

Sebut sahaja ceramah, semua akan mengantuk. Benar? Ya, saya percaya anda semua turut mengalaminya. Bukan saya seorang, bukan kepada ibu-ibu, tidak hanya golongan remaja bahkan semua di dunia ini pasti mengalami.  

Bagi yang sedang berada di alam persekolahan atau pun universiti, suasana di dalam kelas dan dewan kuliah sudah tentu membuatkan anda semua mengantuk, terutama ketika guru dan pensyarah sedang mengajar. Mengapa boleh jadi begini?
Kali ini, saya akan bawakan 5 sebab utama mengapa pelajar-pelajar mengantuk di dalam kelas. 
  1. Tiada persediaan – Ya, ramai di kalangan pelajar tidak kira di alam persekolahan atau pun ketika di alam universiti yang tidak membuat persediaan yang cukup sebelum ke kelas. Apabila anda tidak membaca dahulu apa yang akan diajar oleh guru dan pensyarah pada hari tersebut, anda akan cepat hilang tumpuan. Yalah, apa yang diajar oleh guru anda tidak pernah pun tahu. Bagaimana mahu rasa seronok? Macamana ingin merasa mudah ketika guru mengajar? Justeru, pastikan anda membaca dahulu apa yang akan disampaikan oleh guru atau pensyarah pada hari tersebut sebelum ke kelas.
  2. Kurang tidur – Ramai yang beranggapan bahawa, tidur lewat adalah jalan penyelesaian terbaik untuk score di dalam peperiksaan. Ya, benar. Ramai orang berjaya yang berbuat demikian. Tidur lewat untuk mengulangkaji pelajaran. Tapi lebih ramai orang berjaya yang tidak mengamalkan kaedah sedemikian. Apabila anda tidur lewat, anda akan mengantuk di dalam kelas. Dan apa yang cikgu dan pensyarah ajar anda akan kurang faham. Justeru mengapa tidur lewat?
  3. Tidak fokus - Percayakah anda kalau saya katakan bahawa lebih separuh peratus pelajar-pelajar yang tidak memberikan perhatian ketika guru atau pensyarah mengajar di kelas. Kelas dan dewan kuliah bukan tempat untuk anda berangan atau membiarkan fikiran anda bebas menanar ke mana-mana. Pensyarah, guru perasan kalau anda berangan. Pensyarah nampak. Justeru, sebelum ke kelas, ikhlaskan hati. Betulkan semula niat. Ya, aku hendak ke kelas untuk mengutip seberapa banyak ilmu. Buat begitu, insyaAllah segala yang diajar akan lekat di minda.
  4. Kurang minat – Mengapa tidak minat? Bosan? Kalau anda ingin berjaya, anda harus minat. Ya, anda wajib untuk menyukai setiap pelajaran dan subjek yang anda ambil. Apa guna anda belajar subjek berkenaan jika anda sendiri tidak minat subjek itu. Ingat, sesuatu yang sukar itu seringkali bermula dengan yang sukar-sukar. Kuatkan hati, tanamkan azam yang jitu. Tambahkan minat terhadap mata pelajaran yang kurang diminati. Lakukanlah apa sahaja untuk memastikan anda minat dan seronok terhadap  tajuk dan subjek berkenaan.
  5. Fizikal dan Mental : Ya, kekadang itu kita tidak sedar bahawa mental dan fizikal kita juga perlu rehat yang mencukupi. Dapatkah anda bayangkan sebuah kereta yang bergerak 24 jam tanpa henti dan ia terus bergerak lagi untuk 24 jam yang seterusnya tanpa henti. Apa akan terjadi? Ya, begitu juga tubuh kita. Manusia bukannya robot. Robot juga kalau tidak digunakan dengan sebaiknya akan rosak. Justeru, pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya. Rehat fizikal, rehat juga minda. Buanglah segala masalah yang sedang melanda dan mengusutkan anda. Semoga anda menjadi manusia paling berjaya!